Pages

Khamis, 10 Mac 2016

10 Cara Mencipta Masa Berkualiti Dengan Anak

Assalamualaikum wbt.

Dunia keibuan kita semakin kalut apabila anak bertambah dan ada yang sudah bersekolah. Hari-hari rutin sama je. Bangun pagi, siap-siapkan anak, hantar anak pergi sekolah, uruskan rumah, ambil anak dari sekolah, terkejar-kejar makan tengah hari, kemudian bersiap pula nak pergi sekolah agama, nanti petang anak balik, dia terus keluar bermain dengan kawan, balik semula dah maghrib, solat, mengaji, makan, bum tidur, esok mula balik rutin sama.

Haa baca pun dah stress. Tu belum masuk lagi isu-isu lain macam kerja di pejabat, masalah kewangan, kereta rosak, pelanggan marah, kucing jiran berak depan rumah, pokok tanam tak mau hidup, Saheizy Sam dah kawin (eh), etc,etc,  tu yang buat kita makin garang, makin tertekan, makin tua!

Masa kita habis macam tu je...sedar-sedar anak semua dah sekolah, dah besar, ada yang dah masuk sekolah menengah, ada yang dah merantau jauh-jauh. Bila rumah dah sunyi, baru kita sedar, eh apa je aku buat selama ni?


Tak payah tunggu besar, anak baru masuk darjah dua ni pun dah rasa macam, alamak macam tak sempat je mama nak bermesra dengan anak. Jadual dia padat dari pagi sampai ke malam. Sampai kita tengok dia pun, alahai siannya anak aku. Perlukah hidup sebegini penat?

Well, inilah kehidupan.

Bila sebut pasal masa berkualiti, sebenarnya bukannya perlu mengadap anak 24 jam sehari, tetapi cukuplah beberapa minit atau jam untuk kita meluangkan masa dengan dia. Masa berkualiti ialah kita menggunakan masa itu dengan perkara berfaedah dengan dia, berbual dari hati ke hati, mendengar masalah dan aduan dia, atau melakukan apa-apa aktiviti yang boleh menjadi 'moment' terbaik bagi dia yang akan dia kenang dan ingat bila dewasa nanti.

So hari ni mama nak share dengan ibu-ibu lain beberapa cara dan idea yang boleh kita lakukan untuk mencipta masa berkualiti dan berharga dengan anak-anak kita. Enjoice!

1. Solat jemaah

Ayah boleh ajak anak lelaki solat di masjid, manakala ibu dan anak perempuan boleh solat sama-sama di rumah. Atau kadangkala bolehlah solat berjemaah beramai-ramai di ruang tamu rumah, ayah jadi imam. Selepas berdoa bolehlah membacakan hadis ataupun mengaji bersama-sama. Barulah rumahtangga sakinah mawaddah warohmah gitu kan..

2. Makan berjemaah

Jadikan waktu makan ni acara perhimpunan keluarga. Duduk sama-sama di meja makan, dan tanyakan perkembangan anak-anak. Macam mama, anak suka cerita hal-hal sekolah. Siapa kawan dia, apa dia buat, apa perkara baru yang dia dapat disekolah hari ni. Dengar dengan penuh minat, jangan buat acuh tak acuh je. Kita sendiri kalau bercakap orang tak dengar, sakitnya hati kan. Anak pun sama lah.

3. Memasak bersama

Untung kalau ada anak dara ni, boleh ajak dia masak sama-sama. Kalau takde anak dara macam mama, biar dia buat aktiviti dengan ayah. Kalau anak lelaki suka tolong mama, itu sudah bagus sangat. Kalau anak lelaki tak minat, jangan paksa. Tapi masih boleh ajar dia masak nasi, goreng keropok, goreng telur dan sebagainya. Anak ni bukan tak minat, tapi kita yang tak ajak. Betul tak?

4. Bermain permainan kegemaran atau buat projek DIY bersama-sama

Anak seronok sangat sebenarnya kalau ada mak dan ayah ikut serta dalam aktiviti dia buat. Macam mama hari tu, join 3 hero mama ni main bola. Dalam rumah je pun, tapi semput jugalah. Haha..Yang penting anak-anak happy.

Jadi, ibu dan ayah bolehlah sama-sama dengan anak main lego ke, main puzzle ke, main saidina ke, main playdoh ke, atau buat apa-apa projek DIY sama-sama. Macam projek rak kereta Hot Wheel mama ni.

5. Berbual dan bercerita sebelum tidur

Sebelum tidur pun adalah waktu terbaik untuk mencipta masa berkualiti dengan anak. Berbual, bercerita, bacakan buku cerita atau beri kata-kata positif. Bila anak dah mamai nak tidur sangat tu, elok kita hantar gelombang positif, cakap benda yang baik supaya kata-kata kita tu masuk ke dalam minda bawah sedar dia.

6. Cipta 'trademark' tersendiri

Contoh trademark, mama suka kiss pipi anak bila-bila masa yang sempat atau rasa nak kiss. Ikut suka la kan. Mungkin ada ibu yang suka geletek anak, ada ibu yang suka peluk anak, ada yang suka main rambut dan sebagainya.

7. Beberapa minit antara Maghrib dan Isyak

Waktu ni tak lama..lebih kurang 30 minit kalau tolak waktu solat dan waktu mengaji. So baki 30 minit ni boleh dihabiskan dengan bercerita kisah Nabi ke, dengar hafazan anak dan sebagainya.

8. Dalam kereta

Ibu-ibu yang berpeluang hantar anak ke sekolah, jangan lepaskan masa beberapa minit dalam kereta ni dengan duduk diam, dengar lagu atau membebel tak tentu hala. Beberapa minit ni boleh jadi waktu yang sangat berharga dan silap-silap paling di gemari anak-anak sebab masa ni je dia dapat 'berduaan' dengan kita, kan.

9. Semasa melakukan kerja sekolah

Temankan anak buat kerja sekolah. Duduk disebelahnya, tengok dia buat kerja. Tapi jangan ibu pula yang tolong buatkan. :D

Bagi pujian kalau anak buat dengan betul.

10. Rehlah atau bercuti bersama

Kalau tak mampu nak pergi jauh-jauh, cukuplah ibu masak sedap-sedap, piknik depan rumah. Nak jauh sikit boleh lepak tepi pantai ataupun di taman. Macam ni je pun anak dah suka hati sangat.

Sebenarnya, banyak lagi cara untuk menikmati masa berkualiti dengan anak. Tak perlu lama pun. 10-30 minit sehari pun sudah memadai jika kita terlalu sibuk.

Apa yang penting, apabila dengan anak, NO HANDPHONE, NO SCREAMING...jika tidak apalah gunanya.

Walaupun susah, insyaAllah. kita boleh!

P/S: Jemput like page Kedai Vitamin Ibu Anak : 012-9645614 di facebook.

Salam sayang!

MamaSu.

1 ulasan:

  1. Terima kasih mama Su dengan sedikit panduan ini dan sebagai peringatan kepada saya yang mempunyai anak@ yang sedang membesar...Kadang2 risau & terfikir jgk bila anak dah besar mungkin dorg akan semakin jauh dari ibu yang sekarang ni sgt mereka perlukan...:(

    BalasPadam