Pages

Rabu, 6 Mei 2015

Solat Wajib Walaupun Dah Turun Tanda Bersalin!

Solat adalah kewajipan bagi setiap umat Islam walau dalam keadaan apa sekali pun hatta sedang sakit kronik, sedang berperang atau juga sakit nak bersalin.

Islam sudah menggariskan panduan yang tepat serta memberi keringanan (rukhsoh) untuk menunaikan solat dalam keadaan yang sangat kesempitan. Begitu juga dengan keadaan semasa hendak melahirkan atau bersalin.

Ramai ibu, akibat kurang pengetahuan, ilmu dan kefahaman, mengambil ringan kewajipan solat semasa hendak bersalin ini sedangkan kewajipan solat belum terangkat.



Pecah ketuban atau turun darah dan penjelasannya

Terdapat perbezaan pendapat antara ulama' mengenai hal ini.

Imam As-Syafie berpendapat bahawa darah yang keluar ketika sakit hendak bersalin atau darah yang keluar bersama ketika melahirkan anak ialah darah fasad (darah kotor atau istihadah) dan bukan darah nifas. Dengan itu kewajipan solat belum terangkat dan wajib ke atas ibu tersebut untuk menunaikan solat.

Sedangkan darah yang keluar selepas bersalin ialah darah wiladah dan darah nifas maka kewajipan solat wanita tersebut gugur.

Ulama' Mazhab Hambali dan beberapa ulama' lain berpendapat darah yang keluar sebelum bersalin bersalin adalah darah nifas, maka dalam situasi ini mereka tidak perlu menunaikan solat jika darah tersebut keluar berterusan sehingga waktu melahirkan anak.

Ulama Maliki bersetuju dengan pendapat Hambali tetapi menganggap darah yang keluar adalah darah haid, bukan darah nifas.

Kesimpulan

Pendapat PILIHAN ialah pendapat pertama daripada As-Syafie yang mewajibkan solat meskipun sudah keluar tanda-tanda untuk bersalin seperti turun darah atau pecah ketuban. Pendapat ini lebih cermat dalam ibadah.

Jika rasa sakit bersalin atau aliran darah dirasakan terlalu kuat, maka ketika itu pendapat yang mengatakan TIDAK WAJIB SOLAT sesuai di amalkan. Pendapat ini sangat relevan dengan keadaan rukhsoh syariah yang tidak membeban, menyusah atau memberatkan penganutnya.



Bagi ibu-ibu yang sudah bersalin, tidak mengetahui mengenai hal ini, maka eloklah di ganti solat yang sudah tertinggal itu.

Moga Allah ampuni dosa-dosa akibat kejahilan dan kelalaian kita ini.

Wallahua'lam.

Rujukan:
1. Dr. Abu Anas Madani

2. Q&A Fiqh Perubatan, Dr. Muhammad Rafiqi Hehsan, 2015

3. sayangislam.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan