Assalamualaikum wbt.
Saat anak berkata, "Aqil tak boleh la mama. Aqil tak kuat", "Aqil tak pandai la mama. Tangan Aqil ni kecik", "Aqil tak lari laju macam abang", hati mama rasa aduhai anakku, kenapa cakap macam tu.
Inilah isu anak kedua mama sebelum dia berumur 5 tahun iaitu sebelum dia masuk sekolah dulu. Dia sering merendahkan diri dia sendiri, selalu membandingkan dirinya dengan abang yang lebih besar dan kuat daripada dia. Sampai nak naik basikal pun dia tak berani.
Walaupun mama selalu bagi kata-kata semangat, ada saja jawapan dia untuk membenarkan apa yang dia percaya. Kadang-kadang mama rasa geram juga. Tapi geram dalam hati je lah. Tak pe kita bagi dia masa. Mama selalu rasa dia sebenarnya belum bersedia untuk buat apa-apa sendiri walaupun anak-anak lain yang sebaya dia mungkin dah pandai macam-macam.
Isu inilah juga yang kadang-kadang boleh buat ramai ibu kurang sabar, selalu marah anak, pukul dan sebagainya. Mama akui kadang-kadang mama pun hilang kesabaran juga. Mana taknya, kita sibuk uruskan adik, dia pula sibuk minta macam-macam sedangkan dia boleh buat semuanya sendiri. Contohnya ambil makanan dalam peti ais.
Dia pandai buka peti ais dan peti ais tu hanya beberapa langkah je dari kita, tapi dia tetap juga nak mama yang ambilkan. Bila mama kata, "Aqil buka je peti ais, kek tu ada dalam tu, mama dah potong", dan dia pun bagi jawapan macam kat atas tadi.
Mama tahu dia bukan tak boleh buat. Dia cuma nakkan perhatian dan nak mama layan dia.
Tapi syukurlah, sejak dia bersekolah, dah banyak perubahan pada dia. Banyak perkara dia dah mula nak buat sendiri. Mama harus banyak lagi beri galakkan dan biarkan saja dia buat sesuatu perkara (yang tidak berbahaya) dengan cara dia sendiri.
Hari ni mama nak kongsi tips untuk pembaca blog mama dan mama sebenarnya nak simpan untuk rujukan sendiri. Mana tau berguna bila-bila nanti kan.
1. Beri pujian atas pencapaiannya walaupun ia kecil
Siapa yang tak suka di puji. Anak-anak lebihlah lagi. Nak-nak pujian daripada orang yang dia paling percaya iaitu ibu dan ayah mereka. Dulu masa kecik, bila anak kita dah pandai berjalan, kemain kita suka, tepuk tangan peluk dan cium dia. Bila dia dah besar sikit, kita semakin kedekut dengan pujian. Sampai kita sendiri tak sedar apa benda anak kita buat tau-tau dah nak masuk sekolah rendah.
Lepas ni, nampak dia pandai bercakap, puji; dia tolong kita mengemas, puji; dia pandai makan sendiri, puji; dia pandai memanjat, puji; dia pegang buku, puji; dia berkelakuan baik, puji; dia makan cermat, puji; dia dengar arahan kita, puji; dia mandi awal, puji; dia tiru kita solat, puji; dia pandai pakai kasut sendiri, puji, dia tak mengamuk, puji. Pujilah ikut mana yang boleh.
Dan cara pujian yang paling berkesan ialah dengan memeluknya erat.
2. Kurangkan larangan
Terlalu banyak larangan akan membantutkan potensi diri anak-anak. Lama-kelamaan ia akan menanam 'ketakutan' dalam diri anak kita. Larangan seperti, "adik, jangan panjat nanti jatuh", "adik, jangan berlari nanti jatuh", adik jangan itu, adik jangan ini. Semua tak boleh akhirnya anak pun tak berani lagi nak buat apa-apa.
Apabila anak mula meneroka, biarkan dia. Ibu dan ayah cuma perhatikan saja dari jauh agar dia tidak melakukan sesuatu yang bahaya. Jika perbuatannya salah, tunjuk dan ajarkan cara yang betul tanpa memerli atau mengkritik usaha dia.
3. Dengar dan fahami isi hatinya
Kadang-kadang anak kita ni ada perasaan 'down' juga. Contohnya tiba-tiba ada orang mengejek dia atau mempermainkan dia. Bila dia luahkan perasaan, cuba dengar dan fahami apa yang dia nak sampaikan.
Tapi elakkan beberapa perkara:
+ mengkritik dia, contohnya "tu lah abang siapa suruh main dengan budak tu"
+ merendahkan diri dan perasaannya, contohnya "ala sikit je, itu pun nak merajuk"
+ memenangkan dia, contohnya "tak baik budak tu ejek abang. dah jangan kawan dengan dia"
+ mengutuk orang yang mengenakan dia, contohnya "alah budak tu ejek abang, dia pun bukan baik sangat".
Apabila situasi ini berlaku, biarkan dia bercerita, pujuk dia dan alihkan perhatian dia daripada isu yang sedang dia hadapi. Ada masa anak kita perlu berasa 'down', sentap dan sebagainya supaya dia belajar bagaimana nak menghadapi isu seperti itu pada masa depan.
4. Sentiasa beri perhatian, penghargaan dan kasih-sayang
Apabila anak kita mendapat cukup perhatian, penghargaan dan kasih sayang dari orang yang sepatutnya, self-esteem dan keyakinan diri mereka terus meningkat. Mereka berasa diri mereka wujud, diperlukan dan dorongan seperti ini mampu menjadikan anak kita insan yang hebat, banyak idea dan berani.
Semoga kita terus berusaha menjadi ibu bapa yang baik, dapat mendorong dan membentuk anak menjadi insan hebat dan berguna kepada bangsa dan agama. InsyaAllah.