Pages

Selasa, 24 Ogos 2021

Tip Personal Branding Di Media Sosial (Facebook)

Personal branding adalah perkara yang tidak asing lagi terutamanya kepada orang bisnes.

Branding adalah penjenamaan manakala personal branding adalah menjenamakan diri seseorang supaya lebih dikenali.

Perkara ini adalah penting kepada orang bisnes kerana dengan personal branding, mereka akan mewujudkan trust atau kepercayaan prospek kepada mereka, seterusnya akan berlaku urusan perniagaan atau jual beli. 

Personal branding yang kuat, bukan saja membuatkan seseorang itu lebih dipercayai, malah ia juga mampu meninggalkan impak positif yang besar kepada masyarakat. 




Kita ambil satu contoh jenama yang kuat, seperti Planta. Semua ibu-ibu jika nak buat kek atau biskut raya, mesti teringat iklan Planta dalam tv.

Begitu juga dengan keenakan buah kurma dari Timur Tengah, Yusoff Tayyob...maka kita tahu bulan Ramadhan bakal menjelma. 

Bagaimana pula dengan personaliti yang kuat?

Contohnya saudara Irfan Khairi iaitu businessman yang tidak asing lagi. Begitu juga dengan Syed Mokhtar Al-Bukhari.

Ada ramai lagi contoh-contoh personal branding yang kuat yang boleh anda kaji. 

Untuk menjenamakan diri di media sosial, adalah perkara yang tidak terlalu sukar dan tidak juga terlalu mudah. Ia adalah skill dan teknik yang perlu dipelajari, dan perlu juga dilakukan dengan konsisten.

Lagi pula jika kita ini memang bermula dari bawah, bukan artis atau selebriti.

Membina personal branding kuat boleh mengambil masa lama, namun begitu ia tidaklah mustahil. 

Bagi anda yang ingin membina personal branding di Facebook, bolehlah mengamalkan tip di bawah dengan konsisten. 

1. Guna nama penuh dan nama yang sama di semua platform media sosial yang lain

2. Guna gambar muka sendiri

3. Tulis idea sendiri, tidak copy& paste status orang lain

4. Tulis benda berimpak positif, contoh kisah inspirasi orang lain atau recommend orang lain dalam status facebook kita

5. Rajin tinggal komen berimpak positif di posting orang lain yang telah ramai follower

6. Tulis komen yang baik-baik. Jika tidak setuju dengan status atau pendapat orang lain, sebaiknya jangan komen apa-apa di posting mereka

7. Elakkan status berbaur negatif, hasutan, kebencian dan cubaan untuk jatuhkan orang lain. Ini kerana anda akan menarik mereka yang berideologi sama untuk menjadi follower anda dan mental anda akan penat kerananya nanti.

(Jika anda kuat untuk melayani perdebatan / pergaduhan yang mungkin timbul nanti, terpulanglah)

8. Tulis cerita (storytelling) kerana orang suka baca story dan ini lebih meninggalkan kesan emosi kepada mereka, kerana ada persamaan antara anda dan diri mereka. 

9. Selitkan juga  mesej yang baik dalam story anda, yang boleh menambah nilai dalam kehidupan mereka

10. Jangan over poyo, overselfie kerana ini boleh merosakkan personal branding anda

Sentiasa ingat, keberadaan kita di media sosial adalah untuk memberi sebanyak mungkin manfaat kepada orang lain.

Setiap penulisan kita akan di catat oleh malaikat dan akan di hisab di akhirat kelak.

Tugas kita menyampaikan dan menyebarkan kebaikan. Jika ada yang tidak suka sekalipun, terpulang kepada mereka kerana kita takkan dapat puaskan hati semua orang. 

Asalkan kita tahu kita buat perkara yang betul, yang tidak melanggar batas syarak, juga tidak melanggar undang-undang, maka teruskan saja. 

Semoga berjaya!

Khamis, 16 Januari 2020

Amalan Masuk Rumah Baru

Amalan Masuk Rumah Baru

***************************

١. Membaca Surah al-Baqarah

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِى تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Maksudnya: “Janganlah kamu semua menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surat al-Baqarah”

Hadis Riwayat Muslim ﴾780﴿

٢.Menunaikan solat sunat keluar dan masuk rumah

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi ﷺ bersabda

إِذَا خَرَجْتَ مِنْ مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَخْرَجِ السُّوْءِ وَإِذَا دَخَلْتَ إِلَى مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَدْخَلِ السُّوْءِ

Maksudnya: “Jika engkau (ingin) keluar dari rumahmu, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangimu dari keburukan yang berada di luar rumah. Jika engkau masuk ke dalam rumahmu, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangimu dari keburukan yang ingin masuk ke dalam rumah.”

Hadis Riwayat al-Bazzar. Berkata Ibn Hajar al-Haythami: Rijalnya thiqah

٣. Membaca bismillah, berzikir dan berdoa ketika membuka dan menutup pintu Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabiﷺ bersabda

إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قَالَ الشَّيْطَانُ: لَا مَبِيتَ لَكُمْ وَلَا عَشَاءَ، وَإِذَا دَخَلَ فَلَمْ يُذْكَرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ قَالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ الْمَبِيتَ


Maksudnya:“Apabila seseorng masuk ke dalam rumah lalu dia mengingati Allahﷻ ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata: ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati Allah ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kalian mendapatkan tempat menginap’.”

Hadis Riwayat Muslim ﴾2018﴿, Abu Daud ﴾3765﴿ dan lain-lain.

٤.Juga daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, Nabi ﷺ bersabda

وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا

Maksudnya: “Tutuplah pintu, dan sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut nama Allah).”

Hadis Riwayat Bukhari ﴾3304﴿, Muslim ﴾2012﴿ dan yang lainnya

٥. Memberi salam

Daripada Nafi` bahawa Abdullah bin Umar R.anhuma berkata

إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ فَلْيَقُلِ السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين.

Maksudnya: "Jika engkau memasuki suatu rumah yang tidak berpenghuni maka katakanlah: Assalamu`alaina wa `ala ibaadillahis solihin – Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh."

Hadis riwayat al-Bukhari  (1055) dalam al-Adab al-Mufrad. Ibn Hajar al-Asqalani berkata sanadnya hasan.

٦. Selain daripada di atas nak azan,nak ruqyah n renjis rumah tidak ada masalah jgn dsebut ia sebagai sunnah.

Kredit: Mohammad Anika

Isnin, 13 Januari 2020

Review: Livinox Hood dan Gas Hob

Hai assalamualaikum.

Saya nak share pengalaman mencari gas hob dan hood sempena nak masuk rumah baru. Masa entry ini di tulis, dah lebih kurang 3 minggu pun kami masuk rumah.

Makanya, selama itu lah juga kami guna hood dan gas hob brand Livinox.

Alkisah sebelum ni saya ada la survey beberapa jenis dapur. Hati tu berminat sangat dapur jenis stainless steel. Sebab sejenis penakut bila selalu dengar orang cerita dapur jenis glass ni selalu meletop.

Kitorang banyak baca komen dalam grup, search dekat fb dan sebagainya.

Tiba hari kejadian iaitu kira-kira bulan 8 tahun 2019, kami jenjalan dekat bandor.

Memang niat nak gi survey dapur dan hood pun.

Kami berhenti depan satu kedai, tapi masuk kedai yang jauh sikit.

Lepas tanya itu ini, kami pun keluar dan masuk pula kedai yang banyak jual barangan jenama Livinox.

Sejujurnya, ini first time saya dengar jenama ni 😅.

Bila masuk kedai tu, wow tak sangka banyak juga produk2 bawah jenama Livinox ni.

Ada sinki, paip, kepala shower, tandas dan memacam lagi lah.

Kami di sambut baik oleh pembantu kedai. Pusing2 kat dalam kedai tu tiba-tiba sampai dekat bahagian yang pamer dapur dan hood.

Macam biasa kami pun soal itu ini dekat pembantu kedai. Memang hajat nak survey je pun kan.

Tiba-tiba dia cakap sekarang ada promosi, beli hob dengan hood ni pakej RM1399 je. Tak tau la murah ke mahal.

Suami kata kawan dia pernah beli hood (jenama lain) pun harga dah RM1000 lebih. Hmm susah juga ni. Hati tu tetap nak yg stainless steel tapi kat kedai tu takde. Ada jenama Milux je.

Bincang punya bincang suami kata yang glass la cantik. Huhu.

Memandangkan dia bagi offer tu (katanya hari tu last day, yeke tak taktau la), kami pun setuju ambik yang dia offer tu. Kami tambah juga salur angin keluar RM100. So total RM1499.

Maka bertukar tangan la hob dan hood tu. Tapi kami tak ambik terus masa tu sebab rumah belum dapat kunci. Kami bayar tapi barang simpan kat kedai. Malas nak angkut balik rumah.

Dan...

Dipendekkan cerita, bila dah dapat kunci, upah orang buat table top dan mintak dia pasangkan terus dapur kami tu.

Ini lah rupanya.


Ada lampu juga tu bawah dia. Lupa plak nak tekan.



Dah hampir sebulan guna ni, ok la, not bad.

Katanya brand Livinox ni buatan Germany. Tungku dia tu diperbuat daripada bahan tak mudah karat. Apa benda dia sebut dulu lupa dah.

Dannn permukaan glass dia tu pun bila tengah guna takde pun rasa panas. Suam2 kuku je.

Setakat ni saya puas hati.

Harap dapur ni tak pecah dan bertahan 10 ke 20 tahun huhu.


Sabtu, 14 September 2019

Bila Anak Mula Bertanya Perihal Seksual -Part 1

Assalamualaikum wbt.

Memiliki anak dalam usia meniti awal remaja, kita akan mula berdepan dengan soalan-soalan yang tak terjangka.

Terutama tentang perubahan diri dia, isu seksual dan sebagainya.

Anak lelaki sulung saya yang berumur 11 tahun baru-baru ini ada bertanya soalan,

"Mama, masa bila boleh keluar air mani?"

Mama sedikit terkejut dengan soalan dia tapi pura-pura cool. Sebenarnya mama sendiri tak tau nak jawab macam mana.

Alih-alih saya cuma cakap,

"Alah, lambat lagi..." (sambil otak sedang fikir ayat lain).

Kemudian saya tanya,

"Mana tau? Siapa cakap? Siapa cerita kat abang?"

Dia tak jawab soalan tu tapi terus tanya soalan lain.

"Betul ke budak-budak yang belum akil baligh kalau mati dia masuk syurga?"

"Betul.

Mana abang tau semua ni? Siapa cerita? Dapat tau dari mana?"

(Actually soalan tu untuk soalan dia yang pertama tadi. Mama still tak puas hati macam mana tiba-tiba dia boleh nak tanya soalan berkaitan air mani.)

Dia jawab, dia dengar masa kawan dia tanya ustazah dekat kelas KAFA. (Untuk soalan kedua).

Habis je babak itu, terus saya capai fon, buka apps telegram untuk tengok nota Akhi Fairuz. Kot kotlah ada skrip macam mana nak jawab.

Sayangnya takde. Hahah

Bila difikir-fikir, baguslah dia tanya kita ibu bapa dia. Maknanya dia ada 'trust' kepada kita.

Daripada dia tanya entah siapa-siapa, lepas tu dapat maklumat entah apa-apa lagi tak boleh jadi!

So sekarang adalah masa kita ibu bapa ni pula cari ilmu bagaimana nak berhadapan dan menjawab soalan-soalan mencabar anak kita sesuai dengan level dan pemahaman dia.

Susah wey!

Terus gelabah nak cari buku.

Saya dah fikir untuk slowtalk dengan dia bab ni. Tapi sebelum tu nak cari dulu ilmu dan teknik menjawab yg betul.

Kalau nak tau apa jadi lepas ni, tunggu ye. Saya akan update part 2.

Nak cari buku dulu.

.

Khamis, 10 Mac 2016

10 Cara Mencipta Masa Berkualiti Dengan Anak

Assalamualaikum wbt.

Dunia keibuan kita semakin kalut apabila anak bertambah dan ada yang sudah bersekolah. Hari-hari rutin sama je. Bangun pagi, siap-siapkan anak, hantar anak pergi sekolah, uruskan rumah, ambil anak dari sekolah, terkejar-kejar makan tengah hari, kemudian bersiap pula nak pergi sekolah agama, nanti petang anak balik, dia terus keluar bermain dengan kawan, balik semula dah maghrib, solat, mengaji, makan, bum tidur, esok mula balik rutin sama.

Haa baca pun dah stress. Tu belum masuk lagi isu-isu lain macam kerja di pejabat, masalah kewangan, kereta rosak, pelanggan marah, kucing jiran berak depan rumah, pokok tanam tak mau hidup, Saheizy Sam dah kawin (eh), etc,etc,  tu yang buat kita makin garang, makin tertekan, makin tua!

Masa kita habis macam tu je...sedar-sedar anak semua dah sekolah, dah besar, ada yang dah masuk sekolah menengah, ada yang dah merantau jauh-jauh. Bila rumah dah sunyi, baru kita sedar, eh apa je aku buat selama ni?


Tak payah tunggu besar, anak baru masuk darjah dua ni pun dah rasa macam, alamak macam tak sempat je mama nak bermesra dengan anak. Jadual dia padat dari pagi sampai ke malam. Sampai kita tengok dia pun, alahai siannya anak aku. Perlukah hidup sebegini penat?

Well, inilah kehidupan.

Bila sebut pasal masa berkualiti, sebenarnya bukannya perlu mengadap anak 24 jam sehari, tetapi cukuplah beberapa minit atau jam untuk kita meluangkan masa dengan dia. Masa berkualiti ialah kita menggunakan masa itu dengan perkara berfaedah dengan dia, berbual dari hati ke hati, mendengar masalah dan aduan dia, atau melakukan apa-apa aktiviti yang boleh menjadi 'moment' terbaik bagi dia yang akan dia kenang dan ingat bila dewasa nanti.

So hari ni mama nak share dengan ibu-ibu lain beberapa cara dan idea yang boleh kita lakukan untuk mencipta masa berkualiti dan berharga dengan anak-anak kita. Enjoice!

1. Solat jemaah

Ayah boleh ajak anak lelaki solat di masjid, manakala ibu dan anak perempuan boleh solat sama-sama di rumah. Atau kadangkala bolehlah solat berjemaah beramai-ramai di ruang tamu rumah, ayah jadi imam. Selepas berdoa bolehlah membacakan hadis ataupun mengaji bersama-sama. Barulah rumahtangga sakinah mawaddah warohmah gitu kan..

2. Makan berjemaah

Jadikan waktu makan ni acara perhimpunan keluarga. Duduk sama-sama di meja makan, dan tanyakan perkembangan anak-anak. Macam mama, anak suka cerita hal-hal sekolah. Siapa kawan dia, apa dia buat, apa perkara baru yang dia dapat disekolah hari ni. Dengar dengan penuh minat, jangan buat acuh tak acuh je. Kita sendiri kalau bercakap orang tak dengar, sakitnya hati kan. Anak pun sama lah.

3. Memasak bersama

Untung kalau ada anak dara ni, boleh ajak dia masak sama-sama. Kalau takde anak dara macam mama, biar dia buat aktiviti dengan ayah. Kalau anak lelaki suka tolong mama, itu sudah bagus sangat. Kalau anak lelaki tak minat, jangan paksa. Tapi masih boleh ajar dia masak nasi, goreng keropok, goreng telur dan sebagainya. Anak ni bukan tak minat, tapi kita yang tak ajak. Betul tak?

4. Bermain permainan kegemaran atau buat projek DIY bersama-sama

Anak seronok sangat sebenarnya kalau ada mak dan ayah ikut serta dalam aktiviti dia buat. Macam mama hari tu, join 3 hero mama ni main bola. Dalam rumah je pun, tapi semput jugalah. Haha..Yang penting anak-anak happy.

Jadi, ibu dan ayah bolehlah sama-sama dengan anak main lego ke, main puzzle ke, main saidina ke, main playdoh ke, atau buat apa-apa projek DIY sama-sama. Macam projek rak kereta Hot Wheel mama ni.

5. Berbual dan bercerita sebelum tidur

Sebelum tidur pun adalah waktu terbaik untuk mencipta masa berkualiti dengan anak. Berbual, bercerita, bacakan buku cerita atau beri kata-kata positif. Bila anak dah mamai nak tidur sangat tu, elok kita hantar gelombang positif, cakap benda yang baik supaya kata-kata kita tu masuk ke dalam minda bawah sedar dia.

6. Cipta 'trademark' tersendiri

Contoh trademark, mama suka kiss pipi anak bila-bila masa yang sempat atau rasa nak kiss. Ikut suka la kan. Mungkin ada ibu yang suka geletek anak, ada ibu yang suka peluk anak, ada yang suka main rambut dan sebagainya.

7. Beberapa minit antara Maghrib dan Isyak

Waktu ni tak lama..lebih kurang 30 minit kalau tolak waktu solat dan waktu mengaji. So baki 30 minit ni boleh dihabiskan dengan bercerita kisah Nabi ke, dengar hafazan anak dan sebagainya.

8. Dalam kereta

Ibu-ibu yang berpeluang hantar anak ke sekolah, jangan lepaskan masa beberapa minit dalam kereta ni dengan duduk diam, dengar lagu atau membebel tak tentu hala. Beberapa minit ni boleh jadi waktu yang sangat berharga dan silap-silap paling di gemari anak-anak sebab masa ni je dia dapat 'berduaan' dengan kita, kan.

9. Semasa melakukan kerja sekolah

Temankan anak buat kerja sekolah. Duduk disebelahnya, tengok dia buat kerja. Tapi jangan ibu pula yang tolong buatkan. :D

Bagi pujian kalau anak buat dengan betul.

10. Rehlah atau bercuti bersama

Kalau tak mampu nak pergi jauh-jauh, cukuplah ibu masak sedap-sedap, piknik depan rumah. Nak jauh sikit boleh lepak tepi pantai ataupun di taman. Macam ni je pun anak dah suka hati sangat.

Sebenarnya, banyak lagi cara untuk menikmati masa berkualiti dengan anak. Tak perlu lama pun. 10-30 minit sehari pun sudah memadai jika kita terlalu sibuk.

Apa yang penting, apabila dengan anak, NO HANDPHONE, NO SCREAMING...jika tidak apalah gunanya.

Walaupun susah, insyaAllah. kita boleh!

P/S: Jemput like page Kedai Vitamin Ibu Anak : 012-9645614 di facebook.

Salam sayang!

MamaSu.

Ahad, 14 Februari 2016

Tips Menaikkan Self-Esteem Dan Yakin Diri Anak

Assalamualaikum wbt.

Saat anak berkata, "Aqil tak boleh la mama. Aqil tak kuat", "Aqil tak pandai la mama. Tangan Aqil ni kecik", "Aqil tak lari laju macam abang", hati mama rasa aduhai anakku, kenapa cakap macam tu.

Inilah isu anak kedua mama sebelum dia berumur 5 tahun iaitu sebelum dia masuk sekolah dulu. Dia sering merendahkan diri dia sendiri, selalu membandingkan dirinya dengan abang yang lebih besar dan kuat daripada dia. Sampai nak naik basikal pun dia tak berani.


Walaupun mama selalu bagi kata-kata semangat, ada saja jawapan dia untuk membenarkan apa yang dia percaya. Kadang-kadang mama rasa geram juga. Tapi geram dalam hati je lah. Tak pe kita bagi dia masa. Mama selalu rasa dia sebenarnya belum bersedia untuk buat apa-apa sendiri walaupun anak-anak lain yang sebaya dia mungkin dah pandai macam-macam.

Isu inilah juga yang kadang-kadang boleh buat ramai ibu kurang sabar, selalu marah anak, pukul dan sebagainya. Mama akui kadang-kadang mama pun hilang kesabaran juga. Mana taknya, kita sibuk uruskan adik, dia pula sibuk minta macam-macam sedangkan dia boleh buat semuanya sendiri. Contohnya ambil makanan dalam peti ais.

Dia pandai buka peti ais dan peti ais tu hanya beberapa langkah je dari kita, tapi dia tetap juga nak mama yang ambilkan. Bila mama kata, "Aqil buka je peti ais, kek tu ada dalam tu, mama dah potong", dan dia pun bagi jawapan macam kat atas tadi.

Mama tahu dia bukan tak boleh buat. Dia cuma nakkan perhatian dan nak mama layan dia.

Tapi syukurlah, sejak dia bersekolah, dah banyak perubahan pada dia. Banyak perkara dia dah mula nak buat sendiri. Mama harus banyak lagi beri galakkan dan biarkan saja dia buat sesuatu perkara (yang tidak berbahaya) dengan cara dia sendiri.

Hari ni mama nak kongsi tips untuk pembaca blog mama dan mama sebenarnya nak simpan untuk rujukan sendiri. Mana tau berguna bila-bila nanti kan.

1. Beri pujian atas pencapaiannya walaupun ia kecil

Siapa yang tak suka di puji. Anak-anak lebihlah lagi. Nak-nak pujian daripada orang yang dia paling percaya iaitu ibu dan ayah mereka. Dulu masa kecik, bila anak kita dah pandai berjalan, kemain kita suka, tepuk tangan peluk dan cium dia. Bila dia dah besar sikit, kita semakin kedekut dengan pujian. Sampai kita sendiri tak sedar apa benda anak kita buat tau-tau dah nak masuk sekolah rendah.

Lepas ni, nampak dia pandai bercakap, puji; dia tolong kita mengemas, puji; dia pandai makan sendiri, puji; dia pandai memanjat, puji; dia pegang buku, puji; dia berkelakuan baik, puji; dia makan cermat, puji; dia dengar arahan kita, puji; dia mandi awal, puji; dia tiru kita solat, puji; dia pandai pakai kasut sendiri, puji, dia tak mengamuk, puji. Pujilah ikut mana yang boleh.

Dan cara pujian yang paling berkesan ialah dengan memeluknya erat.

2. Kurangkan larangan

Terlalu banyak larangan akan membantutkan potensi diri anak-anak. Lama-kelamaan ia akan menanam 'ketakutan' dalam diri anak kita. Larangan seperti, "adik, jangan panjat nanti jatuh", "adik, jangan berlari nanti jatuh", adik jangan itu, adik jangan ini. Semua tak boleh akhirnya anak pun tak berani lagi nak buat apa-apa.

Apabila anak mula meneroka, biarkan dia. Ibu dan ayah cuma perhatikan saja dari jauh agar dia tidak melakukan sesuatu yang bahaya. Jika perbuatannya salah, tunjuk dan ajarkan cara yang betul tanpa memerli atau mengkritik usaha dia.

3. Dengar dan fahami isi hatinya

Kadang-kadang anak kita ni ada perasaan 'down' juga. Contohnya tiba-tiba ada orang mengejek dia atau mempermainkan dia. Bila dia luahkan perasaan, cuba dengar dan fahami apa yang dia nak sampaikan.

Tapi elakkan beberapa perkara:

+ mengkritik dia, contohnya "tu lah abang siapa suruh main dengan budak tu"

+ merendahkan diri dan perasaannya, contohnya "ala sikit je, itu pun nak merajuk"

+ memenangkan dia, contohnya "tak baik budak tu ejek abang. dah jangan kawan dengan dia"

+ mengutuk orang yang mengenakan dia, contohnya "alah budak tu ejek abang, dia pun bukan baik sangat".

Apabila situasi ini berlaku, biarkan dia bercerita, pujuk dia dan alihkan perhatian dia daripada isu yang sedang dia hadapi. Ada masa anak kita perlu berasa 'down', sentap dan sebagainya supaya dia belajar bagaimana nak menghadapi isu seperti itu pada masa depan.

4. Sentiasa beri perhatian, penghargaan dan kasih-sayang

Apabila anak kita mendapat cukup perhatian, penghargaan dan kasih sayang dari orang yang sepatutnya, self-esteem dan keyakinan diri mereka terus meningkat. Mereka berasa diri mereka wujud, diperlukan dan dorongan seperti ini mampu menjadikan anak kita insan yang hebat, banyak idea dan berani.

Semoga kita terus berusaha menjadi ibu bapa yang baik, dapat mendorong dan membentuk anak menjadi insan hebat dan berguna kepada bangsa dan agama. InsyaAllah.

Jumaat, 8 Januari 2016

5 Tips Menggalakkan Anak Ke Sekolah

Masuk tahun 2016 ni, anak kedua mama, Aqil, dah mula ke sekolah. Umurnya nak masuk 5 tahun (bulan Julai nanti).

Mungkin ada yang berpendapat, mama agak lewat menghantarnya ke sekolah. Memang pun. Ada beberapa sebab mama hanya menghantar anak ke sekolah pada usia 5 tahun, tak seperti ramai kawan-kawannya yang dah mula ke sekolah pada usia 3-4 tahun lagi.

Sejujurnya, mama sendiri yang rasa sedih nak berpisah dengan anak. Kecik sangat lagi rasanya 4 tahun tu hihi.. Maklumlah, mama kan surirumah sepenuh masa, yang 24 jam asyik berkepit dengan anak. Jadi, nak melepaskan anak tu rasa agak berat. Lagi pun mama rasa, dia masih terlalu kecil, kesian pula nak suruh berdikari kat sekolah nanti. (Mak-mak sangat kan?) Kiranya mama memang beri kebebasan 100% untuk dia bermain puas-puas.

Lepas tu, bila tengok anak orang lain umur 4 tahun dah pandai selesaikan soalan matematik mudah, mama juga yang sentap. LOL!

Hari pertama, ditemui dalam keadaan menangis pada jam 12 noon. Kawan terpijak kaki katanya.

Umur dah 5 tahun, maka tibalah masanya Aqil ke sekolah. Ikutkan dia memang tak mau lagi pergi sekolah. Macam-macam alasan dia bagi. Tapi, oleh sebab mama dan abah dah buat keputusan nekad yang anak-anak akan ke sekolah menjejak usia 5 tahun, so nak tak nak dia kena patuh cakap mama dan abah. Hihi..

Jadi sekarang mama nak kongsi beberapa tips yang mama buat, supaya Aqil akhirnya terbuka hati nak ke sekolah.

1. Selalu cerita seronoknya pergi sekolah

Ceritalah yang baik-baik mengenai sekolah. Kawan ramai, ada banyak mainan, boleh makan sedap-sedap, macam-macam lagilah. Untung si Aqil, ada abang yang dah sekolah. Abang Ammar pun tokok tambah cerita apa yang best sangat kat sekolah sampai Aqil teruja.

2. Bawa dia melawat sekolah

Kalau ada masa, bawa dia melawat kawasan sekolah. Suruh dia tengok ramainya kawan kat sekolah. Jangan pulak time pergi tu cikgu tengah marah-marah. Habis rosak plan. Ngee..

3. Belikan peralatan sekolah

Belikan beg, buku mewarna, alat tulis dan pensil warna. Bagitahu dia, ini barang sekolah Aqil. Dah beli tu, jangan la peram dalam beg. Ajaklah dia menulis, mewarna, melukis, atau conteng-conteng buku.

4. Jangan marah dan mengugut

Masuk je hari pertama sekolah, kena banyak sabar. Masa ni anak tengah belajar melawan ketakutan yang ada dalam diri dia. Macam-macam alasan yang dia akan bagi. Aqil bosan, Aqil penat, Aqil pening. Layankan je. Dengar boleh, percaya jangan. Jangan ugut dengan kata, 'tak boleh tak pergi sekolah, nanti cikgu marah'. Jangan. Nanti lagi dia takut nak pergi sekolah.

Walaupun anak menangis, buat tak tahu je. Hari ketiga haritu, mungkin sebab mengantuk, Aqil tak sedia bangun pagi. Dia mula menangis dan meronta tak nak pergi sekolah. Abah angkat je dia bawak masuk bilik air dan mandikan. Muka dia masam, mama bagi air pun dia tak nak minum. Hantar juga dia pergi sekolah. Mujurlah balik sekolah tu dia dah happy.

Hari keempat dah ok. Bangun pagi, mandi awal dan bersarapan mee goreng siap bertambah lagi.

5. Bagi reward

Bila tengok anak ok, baik dan behave je, terus puji dia. Cakap "Baguslah Aqil dah suka pergi sekolah, baru jadi orang pandai". Boleh juga bagi reward belanja aiskrim ke sebab dia berkelakuan baik. Terpulanglah ikut kreativiti masing-masing.

Bila anak dah mula sekolah ni, rasa sedikit lega. Itu tanda anak kita dah besar, dah boleh berdikari. Sedikit beban rasa hilang juga. Tapi kadang-kadang ada juga rasa sayu, oh, dah besar anak aku, rasa baru semalam tengok dia lahir, baru sekejap melayan kerenah dan keletah dia. How time flies...

Semoga anakanda mama dan anak-anak ibu semua membesar sebagai seorang hamba Allah yang baik, soleh dan solehah yang berbakti pada keluarga, masyarakat dan agama. InsyaAllah.

MamaSu
012-9645614

Isnin, 17 Ogos 2015

Review Buku: Bertanya Allah Dahulu

Saya baru beberapa hari habis menelaah buku ini.

Berapa bintang? 4 Bintang! Atau mungkin lebih..

Pada saya buku ini permulaan kepada kisah magik dalam hidup saya. Tak keterlaluan saya katakan begitu kerana saya ada sebab-sebabnya.

Seperti kata penulis, buku ini umpama buku ulangkaji sahaja. Hakikatnya kita sering mengamalkan teknik dalam buku ini tapi kita mungkin tak sedar. Atau kita barangkali dah lama meninggalkan sesi berdialog dengan Allah dalam hidup kita.



Bertanya Allah Dahulu, atau singkatannya #teknikBAD yang digunakan penulis, ialah teknik berdoa dan meminta petunjuk, pertolongan, bantuan atau apa saja kepada Allah pada bila-bila masa dan ketika.

Selalunya kita berdoa lepas solat je kan? (Itupun kekadang khusyuk, kekadang tidak). Tetapi menerusi #teknikBAD kita boleh mohon apa saja di mana-mana dalam apa jua situasi pun.

Sejujurnya semasa membaca buku ini, saya terbayang babak anak kecil berdoa seperti yang biasa kita lihat dalam sinetron Indonesia. Begitulah sepatutnya dalam hidup kita.

Dengan tagline Allah Dulu, Allah Lagi, Allah Terus, buku ini seolah-olah berjaya memukau saya untuk terus mengamalkannya.

Dan peliknya, jika tak mulakan sesuatu yang penting dengan #teknikBAD, rasa seolah-olah hidup tak lengkap. Terasa ada yang kurang.

Bila kita selalu memohon dengan Allah, kita mula rasa bahawa Allahlah satu-satunya tempat kita bergantung. Walau bagaimana hasil daripada permohonan kita itu, baik atau buruk, kita seronok dan bahagia sebab itu keputusan Allah.

Lagi bestnya ialah kita akan rasa, kita ada Allah. Kita tak takut, tak risau, tak sedih. Kita rasa tenteram, rasa ada 'sesuatu' sedang 'memeluk' kita. Allahuakbar.

Syukur sangat Allah temukan saya dengan buku ini.

Sangat disyorkan dibaca oleh semua tak kira siapa.

Anda boleh dapatkan buku ini di website wrthough.com ini, atau berhubung terus dengan penulisnya di facebook.

Wallahua'lam.

Rabu, 6 Mei 2015

Solat Wajib Walaupun Dah Turun Tanda Bersalin!

Solat adalah kewajipan bagi setiap umat Islam walau dalam keadaan apa sekali pun hatta sedang sakit kronik, sedang berperang atau juga sakit nak bersalin.

Islam sudah menggariskan panduan yang tepat serta memberi keringanan (rukhsoh) untuk menunaikan solat dalam keadaan yang sangat kesempitan. Begitu juga dengan keadaan semasa hendak melahirkan atau bersalin.

Ramai ibu, akibat kurang pengetahuan, ilmu dan kefahaman, mengambil ringan kewajipan solat semasa hendak bersalin ini sedangkan kewajipan solat belum terangkat.



Pecah ketuban atau turun darah dan penjelasannya

Terdapat perbezaan pendapat antara ulama' mengenai hal ini.

Imam As-Syafie berpendapat bahawa darah yang keluar ketika sakit hendak bersalin atau darah yang keluar bersama ketika melahirkan anak ialah darah fasad (darah kotor atau istihadah) dan bukan darah nifas. Dengan itu kewajipan solat belum terangkat dan wajib ke atas ibu tersebut untuk menunaikan solat.

Sedangkan darah yang keluar selepas bersalin ialah darah wiladah dan darah nifas maka kewajipan solat wanita tersebut gugur.

Ulama' Mazhab Hambali dan beberapa ulama' lain berpendapat darah yang keluar sebelum bersalin bersalin adalah darah nifas, maka dalam situasi ini mereka tidak perlu menunaikan solat jika darah tersebut keluar berterusan sehingga waktu melahirkan anak.

Ulama Maliki bersetuju dengan pendapat Hambali tetapi menganggap darah yang keluar adalah darah haid, bukan darah nifas.

Kesimpulan

Pendapat PILIHAN ialah pendapat pertama daripada As-Syafie yang mewajibkan solat meskipun sudah keluar tanda-tanda untuk bersalin seperti turun darah atau pecah ketuban. Pendapat ini lebih cermat dalam ibadah.

Jika rasa sakit bersalin atau aliran darah dirasakan terlalu kuat, maka ketika itu pendapat yang mengatakan TIDAK WAJIB SOLAT sesuai di amalkan. Pendapat ini sangat relevan dengan keadaan rukhsoh syariah yang tidak membeban, menyusah atau memberatkan penganutnya.



Bagi ibu-ibu yang sudah bersalin, tidak mengetahui mengenai hal ini, maka eloklah di ganti solat yang sudah tertinggal itu.

Moga Allah ampuni dosa-dosa akibat kejahilan dan kelalaian kita ini.

Wallahua'lam.

Rujukan:
1. Dr. Abu Anas Madani

2. Q&A Fiqh Perubatan, Dr. Muhammad Rafiqi Hehsan, 2015

3. sayangislam.com


Jumaat, 24 April 2015

Ladang Alam Warisan, Kuala Pilah Tempat Bercuti Dengan Suasana Kampung Yang Mendamaikan

Jika anda mencari satu tempat yang jauh dari hiruk pikuk kenderaan dan kesibukan kota, saya cadangkan anda bercuti ke Ladang Alam Warisan, Sri Menanti Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Pertama kali saya mendengar mengenai Ladang Alam Warisan (LAW) ini ialah semasa saya menonton TV tapi tak ingat pula saluran mana. Hati terus terpaut nak ke sana sebab masa tu di tunjukkan ada acara memanah dan berkuda.

Mula-mula dulu saya ingatkan LAW ni berada di Selangor. Rupanya meleset lepas ada seorang kawan bagitahu LAW sebenarnya berada di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, agak dekat dengan rumah dia.

Kemudian entah macam mana, masa bersembang dengan keluarga Shaklee pasal family day, saya syorkan LAW. Niat sebenarnya memang nak pergi memanah. hihihi.. Tak sangka pula diorang semua setuju.

Kali kedua menonton mengenai LAW semasa rancangan Check In Check out di TV9. Masa tu perancangan sudah di atur untuk ke sana. Bila tonton rancangan tu lagi lah rasa membuak-buak nak pergi.

Akhirnya pada 12 April 2015, Allah izinkan juga saya sampai ke sana. Kisah family day kami ni anda boleh baca di blog ilhamfamilysihat.

10 Fakta Menarik Mengenai Ladang Alam Warisan

1. Suasana kampung yang ada ladang kuda dan haiwan seperti rusa, burung kasawari, kambing, ayam, itik dan sebagainya. Sesuai untuk ibu bapa yang nak kenalkan anak dengan haiwan ternakan.

2. Banyak aktiviti selain memanah. Saya di fahamkan ada juga pertunjukan gasing dan permainan tradisi yang lain.

3. Ada tiga buah homestay style rumah kampung yang boleh anda pilih untuk bermalam.

4. Landskap yang menarik dan kemas tapi tak keterlaluan

5. Memperjuangkan ciri-ciri Melayu asli seperti berbusana Melayu lengkap dengan aksesori. Siapa rasa-rasa dah hilang kemelayuan boleh ke sini untuk melihat tamadun Melayu.

6. Menu yang sangat sedap, sesuai dengan tekak kampung saya ni. Antara menu yang saya suka tentulah gulai lemak daging salai.

7. Boleh melakukan aktiviti perkhemahan

8. Dilengkapi kemudahan seperti surau, tandas dan hall terbuka yang luas dan selesa.

9. Aktiviti animal feeding yang di gemari kanak-kanak

10. Kawasan yang luas untuk anak-anak berlari kejar mengejar

Sebenarnya kalau tak pergi sendiri memang tak tahu. Jemputlah ke sana beramai-ramai. Ewah macam duta LAW dah saya ni.




Gambar-gambar ini saya ambil dari facebook Ladang Alam Warisan. Jika anda berminat untuk ke sana untuk melakukan aktiviti beramai-ramai, family day, perkhemahan, team building atau sebagainya, bolehlah menghubungi pihak LAW.

Selamat bergumbira!